Kenapa mendahului RCI TH? Suatu alasan atau gopoh gapah untuk meletakkannya di bawah Bank Negara?

Patutlah... nak buat RCI untuk Tabung Haji konon, adakah sekadar mencari alasan untuk mencapai tujuuan?

Saya terkejut dengan kenyataan media Kementerian Kewangan yang mengatakan bahawa kabinet bersetuju untuk meletakkan Tabung Haji di bawah seliaan Bank Negara Malaysia. 

Ini dibuat atas alasan kononnya untuk menambahbaik pengurusan dan operasi Tabung Haji. Ia juga menyatakan bahawa Lembaga Tabung Haji akan dijadikan sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan (prescribed Islamic financial institution) di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan pindaan akan dibuat terhadap Akta Tabung Haji 1995.

Sekali baca memang cadangan ini nampak baik tetapi jika dikaji secara teliti ianya membawa implikasi yang sangat besar kepada masa depan TH dan ekonomi umat Islam terutama orang Melayu. 

Banyak persoalan yang harus dijawab berdasarkan kenyataan ini :-

1. Apakah pindaan-pindaan yang akan dibuat terhadap Akta Tabung Haji 1995 itu?

2. Adakah pengurusan Tabung Haji tidak lagi mampu untuk mengurustadbir Tabung Haji secara telus dan berintergriti? Jika benar, kenapa tidak diganti anggota Lembaga Pengarah yang sedia ada sahaja?

3. Bukankah Tabung Haji memang diaudit oleh Jabatan Audit Negara untuk memastikan perjalanan Tabung berjalan dengan baik? 

4. Apakah akan ada lagi pemberian Hibah kepada pendeposit dengan kadar tinggi yang didapati sekarang ini atau apakah sekatan akan berlaku oleh Bank Negara kerana Tabung Haji akan tertakluk di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 seperti yang dinyatakan?

5. Tabung Haji ditubuhkan untuk umat Islam tetapi kita tahu bahawa di dalam Bank Negara Malaysia tidak semuanya orang Islam. Adakah akhirnya sebuah institusi Islam akan diurustadbir oleh orang bukan Islam?

6. Bank Negara Malaysia adalah di bawah bidangkuasa Menteri Kewangan; bagaimana jika suatu hari nanti naik pula Menteri Kewangan yang bukan beragama Islam seperti yang pernah berlaku sebelum ini?

7. Apakah selepas ini Tabung Haji masih bebas untuk membuat pelaburan di dalam sektor hartanah, pertanian, perumahan dan sebagainya demi memperkukuhkan ekonomi umat Islam atau apakah akan disekat oleh Bank Negara Malaysia kerana pelbagai regulasi bank? 

8. Tabung Haji adalah milik orang Islam dan untuk menjaga kepentingan ekonomi umat Islam. Adakah dengan meletakkan bawah Bank Negara Malaysia, perkara ini akan terjamin?

Saya merayu kepada kerajaan untuk menolak cadangan ini jika benar-benar kerajaan ini mementingkan nasib bangsa Melayu dan umat Islam.

Kepada Menteri Agama, saya merayu agar mempertahankan institusi ini supaya kekal di bawah Menteri Agama, jika tidak saya bimbang sejarah akan melabelkan Menteri Agama sebagai seorang yang gagal mempertahankan institusi penting ekonomi umat Islam ini, suatu hari nanti.

Akhir sekali, saya memang menyokong langkah untuk melaksanakan RCI terhadap Tabung Haji seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan semalam, tetapi langkah meletakkan institusi ini di bawah Kementerian Kewangan adalah sesuatu yang tidak patut dan berbahaya.

Aminuddin Yahaya

16 Julai 2021

Sumber: https://www.facebook.com/369244243546/posts/10158712461968547/

 

Ulasan

Catatan Popular