Keputusan Rayuan hukuman ke atas Ku Nan Jumaat ini. Bacalah kronologi kes mahkamah yang melibatkan Ku Nan

Semua tertunggu-tunggu, apa kesudahan nasib Ku Nan yang telah berlanjutan hampir 7 bulan setelah dia dijatuhkan hukuman denda RM2 juta dan juga 12 bulan penjara. Jika rayuan gagal, Ku Nan pasti akan ke penjara dan PN serta UMNO akan kehilangan satu lagi kerusi parlimen.
 Semua tertumpu kepada  apa keuntungan muktamad Hakim Mahkamah  rayuan!


Mantan Menteri  Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Sumber berkata, Tengku Adnan ditahan jam 3.15 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika tiba untuk memberi keterangan berhubung isu penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

“Beliau (Tengku Adnan) sudah sampai ke SPRM dan sebaik tiba beliau terus ditahan,” katanya ketika dihubungi.

Tengku Adnan dipanggil bagi memberi keterangan, hari ini berhubung siasatan kes penjualan tanah DBKL ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Difahamkan, Tengku Adnan akan didakwa esok berhubung siasatan kes berkenaan termasuk 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL seluas lebih 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion.

Baru-baru ini, media melaporkan transaksi meragukan itu membabitkan penjualan tanah DBKL seluas 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion disiasat oleh pasukan khas Kementerian Wilayah Persekutuan dan SPRM sejak 31 Julai lalu.

Pada bulan lalu, Tengku Adnan mengakui SPRM memanggilnya lebih 12 kali berhubung isu penjualan tanah terbabit.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 4:23pm


KUALA LUMPUR - Kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berdepan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad bahawa pemohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Disember lepas.

“Permohonan peguam telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Dis 2018. Bagaimanapun, pihak pembelaan belum menerima perintah untuk kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi mana,” kata Timbalan Pendakwa Raya Aida Mastura Mohamed Aman pada sebutan kes itu hari ini.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan,68, mengesahkan perkara itu

Tengku Adnan juga telah menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah. Sebelum ini, Hakim Azman membenarkan pelepasan sementara pasport itu bermula 12 Disember lepas dan memerintahkan tertuduh mengembalikan semula pasportnya kepada mahkamah pada 7 Januari.

Mahkamah membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk mendapatkan sementara pasportnya yang diserahkan kepada mahkamah bagi membolehkannya mendapatkan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Melbourne, Australia.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013 mengikut perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tengku Adnan juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu di tempat dan tarikh sama, sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank‬ miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties yang ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes perbicaraan Ahli Parlimen Putrajaya itu bermula pada 2 Julai tahun lalu dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Pengarah AKSB, Tan Sri Chai Kin Kong.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 Januari dan 5 Mac lalu.

Tengku Adnan dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong.

Kin Kong, memberikan wang itu melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja rasminya.


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersetuju untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM40,358,336.61 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas kedua-dua pihak menyelesaikan kes saman itu secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, pada 23 September lalu.

LHDN dalam tuntutannya sebelum ini menuntut Ahli Parlimen Putrajaya itu membayar jumlah cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Menurut draf perintah persetujuan yang diperoleh media melalui carian sistem mahkamah hari ini, Kerajaan Malaysia melalui LHDN bersetuju meminda notis taksiran tambahan Tengku Adnan selaku defendan bagi Tahun Taksiran 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 yang kesemuanya bertarikh 15 Mac 2019.

"Oleh yang demikian, taksiran tambahan dipinda yang perlu dibayar oleh defendan untuk 2012 berjumlah RM53,872; 2013 (RM4,182,392.03); 2014 (RM6,285,357.26); 2015 (RM6,537,624.73); 2016 (RM3,524,071.10) dan 2017 (RM19,775,019.49).

"Jumlah cukai tambahan yang dipinda adalah berjumlah RM40,358,336.61 termasuk penalti yang membentuk jumlah penyelesaian cukai dan penyelesaian itu dianggap sebagai penyelesaian komposit yang dibuat di bawah Seksyen 96A Akta Cukai Pendapatan 1967," menurut perintah persetujuan itu.

Perintah persetujuan itu turut menyatakan pihak akan membincangkan dalam tempoh 45 hari dari tarikh perintah persetujuan (pada 23 September lalu) mengenai cara pembayaran.

"Sekiranya pihak-pihak gagal mencapai kesepakatan mengenai cara pembayaran, penyelesaian ini akan dibayar sebelum 31 Disember depan.

"Plaintif (Kerajaan Malaysia) dan Tengku Adnan dengan ini menarik balik semua permohonan interlokutari yang dibuat di bawah prosiding sivil ini dan tidak akan ada perintah mengenai kos," menurut perintah persetujuan berkenaan.

Draf perintah persetujuan bertarikh 23 September lalu turut ditandatangani wakil peguamcara daripada pihak plaintif dan defendan serta ditandatangani oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Tengku Adnan, pada 24 Julai tahun lalu selepas mendakwa Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai 'Ku Nan' masih terhutang cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN, dalam tuntutannya, mendakwa sehingga kini Tengku Adnan masih gagal membayar jumlah cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.– BERNAMA


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan.

Terdahulu, ketika menyabitkan Tengku Adnan, 70, bersalah terhadap pertuduhan itu, Mohamed Zaini berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah ke atas tertuduh dan Ahli Parlimen Putrajaya itu juga gagal menangkis kes pendakwaan.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan mengikut mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Keputusan hari ini menjadi kes berprofil tinggi kedua membabitkan pemimpin UMNO yang didapati bersalah atas tuduhan jenayah yang dibawa semasa pemerintahan Pakatan Harapan selepas Barisan Nasional tumbang pada Mei 2018.

Pada 28 Julai, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mengetuai pasukan pembelaan ketika memohon hukuman yang ringan berkata anak guamnya adalah pesalah pertama dan kesalahan itu bukan jenayah yang sangat kejam.

"Anak guam saya adalah penyumbang yang besar kepada negara dan telah berkhidmat dalam kabinet dan Parlimen selama 17 tahun. Kami memohon tidak dikenakan hukuman penjara dan hanya denda dikenakan terhadap anak guam saya. Saya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda kurang daripada RM2,000 untuk mengekalkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Tan berkata, mahkamah perlu mempertimbangkan majoriti tipis di Parlimen dan kerajaan sekarang akan terjejas sekiranya tertuduh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Ini mendorong Mohamed Zaini bertanya: "Haruskah saya prihatin dengan perkembangan politik negara ini?"

Tan menjawab bahawa bagi mahkamah mendapati berlakunya jenayah, mahkamah tidak boleh prihatin tetapi untuk tujuan menjatuhkan hukuman, keputusan mahkamah akan memberi kesan.

"Mahkamah boleh mengambil pengiktirafan kehakiman. Kami mengatakan bahawa ia adalah faktor yang mahkamah boleh pertimbangkan. Kesannya bukan secara terasing tetapi kumulatif dengan yang lain," katanya.

Peguam itu berkata anak guamnya mempunyai banyak masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, kolestrol dan masalah paru-paru.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berhujah bahawa permohonan pembelaan supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda di bawah RM2,000 supaya tidak kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen bukan hukuman yang sesuai diberikan oleh mahkamah.

"Jumlah dalam pertuduhan adalah RM2 juta dan tertuduh sebelum ini pernah menyatakan wang RM2 juta itu hanya 'duit poket' untuknya.

"Tak kan nak hukuman denda RM2,000 untuk elak kehilangan kelayakan. Setiap kali pilihan raya, akan berlaku perubahan. Jika tertuduh tidak menjadi MP (Ahli Parlimen), maka orang lain akan berpeluang memegang jawatan dan berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Ditanya hakim mengenai jumlah denda yang pihak pendakwaan rasakan sesuai, Julia berkata: "Tidak kurang daripada jumlah seperti yang dipertuduhkan."

Julia berhujah isu kepentingan awam perlu diambil kira sebelum menjatuhkan hukuman.

"Hukuman yang diberikan bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh, bahkan masyarakat," katanya.

Julia turut memberi contoh mengenai hukuman yang diberikan kepada bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang dijatuhkan hukuman penjara setahun pada 2011 membabitkan seksyen sama, Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tan kemudiannya bangun dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa faktor umur dan kesihatan anak guamnya yang menjadi keutamaan.

"Alasan utama saya untuk meminta mahkamah agar tidak menjatuhkan hukuman penjara bukan kerana hilang kelayakan. Ini adalah faktor usia dan kesihatannya," katanya.

Dalam penghakimannya Mohamed Zaini berkata, mahkamah cenderung untuk mengikut kes sebelumnya dan memetik kes rasuah Dr Mohamad Khir yang dipenjara selama setahun.

"Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda sebanyak RM2 juta. Sekiranya gagal berbuat demikian, akan menjalani hukuman penjara enam bulan. Hukuman itu akan bermula dari tarikh penghakiman," kata hakim.

Mohamed Zaini berkata, Tengku Adnan bukan pegawai awam dan ahli politik pertama yang disabitkan dengan kesalahan.

"Ada yang lain. Semua orang sama di sisi undang-undang. Saya tidak menafikan beliau telah berkhidmat untuk negara ini selama bertahun-tahun tetapi hukuman itu mesti mencerminkan jenayah dan menjadi pengajaran kepada orang lain," katanya.

Tengku Adnan kelihatan tenang sepanjang prosiding itu yang turut dihadiri isterinya, Datin Seri Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini @ Anggraini Sentiyaki, dua anak lelaki mereka serta ahli keluarga yang lain.

Ketika mahkamah ditangguhkan bagi memboleh pihak-pihak menyediakan hujahan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, kedengaran isterinya berkata sesuatu selepas mahkamah mendapati Tengku Adnan bersalah terhadap pertuduhan itu.

Kelihatan seorang anak lelakinya menenangkan wanita itu.

Sejurus selepas prosiding, Tan ketika ditemui pemberita berkata, pihak pembelaan akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu, hari ini atau esok.

Bagaimanapun, Tengku Adnan enggan mengulas lanjut dan terus berlalu menaiki kenderaannya.

Berita berkaitan:

  • Rasuah RM2 juta: Ku Nan bersalah
  • Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 1:49pm


    Tengku Adnan ketika hadir pada prosiding kes rayuan kesnya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

    Mahkamah tangguh keputusan, nasib Ku Nan diketahui masa terdekat

    Share on facebook
     
    Share on twitter
     
    Share on whatsapp
     
    Share on email
     
    Share on telegram

    PUTRAJAYA – Nasib bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan yang penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya lima tahun lalu akan diketahui dalam masa terdekat.

    Ia berikutan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan ke tarikh yang ditetapkan kemudian berhubung rayuan hukuman tersebut.

    Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suraya Othman yang mengetuai tiga panel itu berkata mahkamah akan memaklumkan kepada pihak-pihak mengenai tarikh keputusan itu.

    “Setelah berbincang, kami memerlukan lebih masa untuk meneliti hujahan sebelum membuat sebarang keputusan. Kita akan memaklumkan tarikh sebenar kepada pihak-pihak dan akan dibuat secepat mungkin,” katanya.

    Selain hakim Suraya turut bersidang bersama dua lagi panel hakim iaitu Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Ahmad Nasfy Yasin.

    Mengikut jadual, sepatutnya rayuan kes itu didengar selama tiga hari iaitu bermula hari ini, esok dan Isnin depan namun mahkamah telah selesai mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak.

    Pada 21 Disember tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas Ku Nan didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya lima tahun lalu.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.- K! ONLINE









    Ulasan

    Catatan Popular